Pelancongan


PAHANG
Pulau Tioman
clip_image002
Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling mempesona di Laut China Selatan, terletak kira-kira 56km dari pantai negeri Pahang. Tersohor sebagai salah sebuah destinasi percutian pulau yang terhebat di dunia, Pulau Tioman pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, 'South Pacific' pada tahun 1959.



Menurut cerita legenda, pulau ini merupakan tempat tinggal puteri naga dongengan. Perairan yang suam dan jarak penglihatan yang tinggi di bawah laut menjadikan Pulau Tioman destinasi popular di kalangan penyelam.

Pemandangan yang mengagumkan termasuk karang lembut Gorgonian, karang Staghorn, 'nudibranch' dan pelbagai bentuk hidupan laut yang indah. Penyelam berpeluang berenang di sisi ikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers.Terdapat beberapa buah perkampungan di sepanjang pantai pulau ini, antaranya Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya dan Juara.


Kawasan pedalaman Pulau Tioman yang berhutan juga menjadi tempat tinggal pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan kecil termasuk rama-rama, mengkarung, rusa dan monyet.Tumbuhan dan haiwan liar yang terdapat di Pulau Tioman juga pernah dipaparkan di dalam dokumentari National Geographic.

Formasi batu granit yang membentuk pulau ini menjadikannya lokasi yang hebat untuk aktiviti memanjat batu. Bagi mereka yang lebih berani, boleh mencuba memanjat tebing Gunung Nenek Semukut (juga bergelar Dragon's Horns). Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort menawarkan tempat penginapan yang mewah, berlatar belakangkan pemandangan bukit-bukau yang beralun.



Pusat Pemuliharaan Gajah Kuala Gandah
clip_image004clip_image006
Salah satu tempat menarik di Pahang yang boleh dilawati ialah di Pusat Pemuliharaan Gajah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kuala Gandah, Lanchang. Jika dahulu, sebut sahaja nama Kuala Gandah, tidak ramai yang mengetahuinya, kini tidak lagi. ‘Kuala Gandah Elephant Sanctuary‘ kian mencipta nama dalam peta pelancongan negara. Selain menjadi tempat pemuliharaan, pusat ini turut menawarkan peluang kepada pelawat-pelawat mengenali salah satu khazanah negara dengan lebih dekat lagi.

Elephas Maximus’, merupakan gajah spesis Asia yang terdapat di negara ini. Spesis ini turut ditemui di hutan-hutan di beberapa buah negara Asia yang lain seperti di IndonĂ©sia, Sri Lanka, dan Bangladesh. Haiwan yang mendapat jolokan nama ‘Orang Besar Jajahan’ (OBJ) di Perak ini, merupakan satu – satunya haiwan gergasi yang masih wujud di muka bumi ini. 


Akan tetapi, semakin hari bilangan haiwan ini semakin berkurangan. Keghairahan manusia memburu haiwan ini untuk mendapatkan gadingnya suatu ketika dahulu adalah salah satu faktor utama mengapa bilangan haiwan ini semakin berkurangan.

Dipendekkan cerita, pada tahun 1985, Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah, di Pahang telah ditubuhkan. Semua gajah liar yang ditangkap akan dibawa ke pusat ini. Pusat perlindungan ini mempunyai satu unit khas yang terdiri daripada mereka yang pakar dalam menghadapi kerenah haiwan gergasi ini. Pusat ini ditubuhkan bertujuan untuk memastikan spesis haiwan ini tidak pupus pada masa akan datang. Di pusat ini terdapat beberapa ekor gajah terlatih yang akan mengiringi gajah liar yang baru ditangkap untuk dipindahkan ke habitat yang baru.

Bagi yang berkelapangan dan ingin “berkenalan’ dengan haiwan ini secara lebih dekat, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke pusat pemuliharaan ini. Pasti anda akan berpuas hati dengan keseronokan yang anda alami.



SABAH
Pulau Lankayan
clip_image008
Pulau ini hanya mempunyai satu pusat selaman skuba di Laut Sulu Malaysia yang dinamakan Lankayan Island Dive Resort dan merupakan salah satu tempat terbaik untuk melihat jerung paus. Kedudukan jerung paus ini selalunya ditanda dengan kehadiran sekumpulan burung laut yang berlegar-legar di kawasan air laut yang tenang. Penyelam mungkin sempat mendekati haiwan raksasa yang tidak merbahaya ini tetapi selalunya haiwan ini tidak menunggu lama di satu-satu tempat.

Pada waktu siang, anda boleh memerhati ikan yu sirip hitam berenang berhampiran pantai. Di sebelah malam pula Penyu Karah dan Penyu Agar boleh dilihat naik ke pantai. Terdapat juga kawasan yang dipenuhi pelbagai jenis terumbu karang lembut dan keras yang berwarna-warni di sini iaitu habitat yang sesuai untuk ikan-ikan kecil.


Salah satu dari 40 tapak selaman skuba yang terdapat di sini ialah Lankayan Wreck di mana bangkai sebuah kapal menunda ikan boleh di terokai penyelam.Bangkai kapal ini menjadi tempat kediaman pelbagai jenis ikan dari yang sekecil 'glassfish', 'harlequin ghost pipefish', 'painted frogfish' hingga ikan pertang dan ikan pari.

Walaupun terpencil, pulau ini mempunyai semua kemudahan sebagai sebuah resort tropika. Pelawat boleh bermalam di banglo kayu yang dibina di celah-celah pokok di pinggiran hutan berhadapan pantai.Sememangnya, Lankayan bukan sahaja destinasi bagi penyelam skuba, malahan bagi sesiapa sahaja yang menghargai ketenangan sebuah pulau yang aman yang menawarkan pemandangan matahari terbit dan tenggelam yang mempesona dan pemandangan laut yang hebat.



Pulau Layang-Layang
clip_image010
Pulau Layang Layang menjadi destinasi selaman skuba yang terkemuka di Malaysia selain Pulau Sipadan. Pulau karang ini terletak di lautan terbuka Laut China Selatan kira-kira 300 km ke barat-laut Kota Kinabalu iaitu ibu negeri Sabah.

Kawasan kecil ini menampung resort yang mempunyai 90 buah bilik mewah, sebuah pengkalan tentera laut Malaysia dan menjadi tempat koloni burung laut yang berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain mengikut musim untuk bersarang.


Topografi terumbu karang di sini terbentuk dari batu karang keras yang subur dan ada di antaranya yang terletak di kawasan sangat cetek sehingga terdedah kepada udara sewaktu air surut, tetapi kebanyakannya bermula pada kedalaman kira-kira 5 meter hinggalah di dasar laut.

Antara hidupan laut yang sering kelihatan di 14 tapak selaman skuba di sini termasuk ikan yu sirip hitam, jerung hammerhead, ikan alu-alu, ikan cermin, 'bump-head parrotfish', 'lionfish', belut moray, penyu, 'nudibranch', ikan goby dan 'ghost pipefish'.



SELANGOR
Masjid Biru

clip_image011
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam adalah salah sebuah bangunan yang paling mengagumkan di negara ini. Bangunan yang dikenali juga sebagai 'Masjid Biru' ini mempunyai menara tertinggi di dunia. Apabila pelancong menghampiri masjid ini, mereka dapat melihat kubah birunya yang besar.

Bahagian bibir kubah serta ruang dewan sembahanyang utama dipenuh hiasan seni kaligrafi Islam manakala seni bina ruang dalaman pula mempamerkan ciri-ciri rekabentuk etnik Melayu.Cahaya matahari yang memancar masuk menerusi tingkap kaca masjid yang berwarna biru memandikan ruang dalam masjid dengan warna kebiruan yang menenangkan.

Di luar Masjid Biru terdapat Taman Kesenian Islam iaitu sebuah taman yang menarik dengan landskap indah sebuah syurga yang diilhamkan dari Al-Quran. Kawasannya merangkumi keluasan 14 hektar dan mengandungi sembilan buah galeri pameran yang mempamerkan koleksi hasil kesenian Islam seperti hasil seni khat, ukiran, lukisan dan seni bina.



PULAU PINANG
Taman Negara Pulau Pinang

clip_image013
Keluasannya hanyalah 2,562 hektar dan diwartakan sebagai Taman Negara pada 2003. Ia turut mempunyai 46 spesies burung seperti burung raja udang, helang dan banyak lagi.Terdapat sebuah tasik yang mengandungi dua lapisan air iaitu air sungai tawar di bahagian atas manakala air laut masin di lapisan bawah.

Tasik yang diberi nama Tasik Meromiktik terletak di pantai Kerachut dan fenomena dua lapisan air itu hanya berlaku sekitar April dan Mei setiap tahun ketika peralihan musim antara dua monsun iaitu monsun timur laut dan monsun barat daya.Ketika fenomena berkenaan berlaku, air di tasik seluas 2.7 kilometer persegi itu dipenuhi dengan pelbagai hidupan marin seperti ikan, udang dan ketam.

Tasik itu akan kering semula apabila perubahan musim monsun barat daya kepada monsun timur laut sekitar Oktober setiap tahun. Kesempatan itu digunakan pengunjung untuk mandi-manda kerana dipercayai air tasik itu mengandungi khasiat yang tersendiri.Tambahan pula, keunikan tasik itu hanya terdapat di pulau ini dan Australia.

Selain keunikannya, taman negara itu yang turut dikenali sebagai ‘Bay of Glowing Amber’ menawarkan pemandangan alam semula jadi menarik pada waktu senja menjadi tumpuan penyu untuk mendarat. Antara spesies penyu yang mendarat dan bertelur di pantai Kerachut dan Pantai Teluk Kampi itu termasuk penyu agar (chelonia) dan penyu lipas (mydas).



NEGERI SEMBILAN
Port Dickson
clip_image014
Port Dickson terkenal kerana adanya pantai yang panjang dan indah dari Janakuasa Elektrik Tuanku Jaafar hingga ke Pasir Panjang. Pantai Teluk Kemang yang cantik ialah di Batu 8 dan Batu 7.
Pantainya landai, bersih, pasir putih halus dan dilengkapi dengan kedai makanan, bilik mandi dan tandas serta pondok-pondok rehat.



MELAKA
Kota A'Famosa
clip_image016
Pihak Portugis telah menjajah Melaka dari tahun 1511 hingga 1641. Perkara pertama yang mereka lakukan ialah membina sebuah kubu berhampiran sungai yang dinamakan A'Famosa.Kubu A'Famosa memainkan peranan yang amat penting bagi pihak Portugis bagi mengekalkan kuasa mereka di Timur Jauh ketika itu kerana Melaka adalah pusat perbalahan antara kuasa-kuasa besar dan sering diancam serangan.

Perkarangan kubu itu pada masa dahulu mengandungi rumah, tempat menyimpan makanan, istana dan tempat mesyuarat bagi Majlis Portugis dan wakil lima buah gereja.Serangan pihak Belanda yang berterusan selama tujuh bulan lamanya hampir memusnahkan keseluruhan kubu tersebut di mana hanya gerbang pintu masuk dan bangunan gereja di atas bukit sahaja yang tinggal.


Pergilah berjalan-jalan mendaki Bukit St. Paul pada lewat petang ketika cuaca lebih nyaman dan bersiar-siar di bawah pokok-pokok besar dan melihat peninggalan sejarah yang dapat dilihat hingga hari ini.



KELANTAN
Pantai Cahaya Bulan
clip_image018
Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan, Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu dan merupakan kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941. Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II.


Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.

Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini.


Oleh itu Pantai Cahaya Bulan telah menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung, terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai, dan tandas awam.

Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional . Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.



Pasar Besar Siti Khadijah
clip_image019
Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walaubagaimanapun ia telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.


Satu pemandangan yang unik di pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga .

Pasar ini mempunyai 4 tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Tingkat 1 pula diperuntukkan kepada barangan makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat Ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling "tersohor" bagi rakyat negeri Kelantan.

Kuih tradisional Kelantan seperti kuih tahi itik, akak, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini. Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan. Pasar ini terletak bersebelahan dengan Bazar Buluh Kubu.



KEDAH
Pulau Langkawi
clip_image020
Pulau Langkawi merupakan salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Pulau Langkawi diberi status bebas cukai pada tahun 1987. Kini, pulau yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi perlancongan yang paling popular di Malaysia. Langkawi sebenarnya merupakan suatu gugusan pulau di mana Pulau Langkawi merupakan yang terbesar.



Pantai Cenang Pulau Langkawi
clip_image022
Keistimewaan Pulau Langkawi tidak hanya bergantung kepada cerita legenda yang diturunkan dari mulut ke mulut itu sahaja. Keindahan perkampungan Melayu, sawah padi terbentang luas dan pantai yang bersih juga memainkan peranan sebagai tarikan pelancong ke pulau ini. Panorama ini memberi inspirasi dan menyumbang kepada ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Pada musim cuti, pasti ramai yang membanjiri lokasi-lokasi percutian di sini.

Paling menjadi tumpuan pastinya kawasan-kawasan yang sedang pesat membangun seperti kawasan Pantai Cenang. Jarak perjalanan dari Kuah ke Pantai Cenang yang mengambil masa 15 minit, menjadi faktor utama tumpuan pelancong ke sini. Pembangunan dengan infrastruktur yang lengkap. Pantai Cenang menjadi tumpuan pengusaha chalet dan resort bertaraf sehingga lima bintang. Tarikan dengan akuarium terbesar di Asia, pesisir pantai yang putih bersih airnya biru, serta aktiviti sosial yang berlarutan ke lewat malam, menggamit ramai pelancong terutama sekitar bulan November hingga Mac.

Bila air laut surut, akan timbul beting pasiryang membolehkan anda melihat kehidupan dalam air dengan lebih dekat. Anda boleh jalan di atas beting pasir ini untuk ke pulau berdekatan, terutamanya antara bulan November hingga Januari. Bagaimanapun, perjalanan hanya boleh dilakukan dalam masa 2 jam pada waktu air surut. Satu lagi pulau berdekatan ialah Pulau Payar, yang mana boleh dikunjungi dengan menyewa sebuah bot Pantai Cenang. Di bahagian selatan Pantai Cenang, terdapat Zon Bebas Cukai Kompleks Membeli-Belah. Waterwater World pula adalah akuarium terbesar untuk melihat kehidupan laut. Pusat akuarium ini dibuka dari pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Di bahagian utara pantai ini pula, terdapat sebuah muzium baru yang nakan Muzium Laman Padi (Rice Garden), dengan pemandangan padi dan taman lanskap yang menarik. Muzium ini menyediakan pelbagai informasi berkenaan pertanian padi dan pengunjung bagi mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.



JOHOR
Desaru
clip_image023
Desaru terletak 100 kilometer dari Johor Bahru, dan merupakan destinasi popular kerana pantainya yang cantik, padang golf yang terbaik dan tarikan pelancongan yang unik.
Walau ia terkenal sebagai kawasan pantai dan resort, ia mempunyai nama lain iaitu ‘Land of Casuarinas’. Ini kerana kita dapat melihat pohon casuarina dengan banyak di sepanjang pesisiran pantai di sini.

Kecantikan semulajadi dengan pemandangan Laut China Selatan menjadikan ia sebuah destinasi yang memikat pengunjung ke sini.

Antara tarikan di sini selain kawasan pantai ialah Muzium Nelayan di Tanjung Balau, Dusun Buah Desaru dan anda juga berpeluang untuk melihat sendiri keajaiban kelip-kelip di Sungai Lebam. Terletak berdekatan negara jiran Singapura, Desaru merupakan tempat percutian popular terutamanya hujung minggu.

Kota Tinggi
clip_image024
Kota Tinggi juga dikenali sebagai sebuah bandar sejarah kerana Kesultanan Johor diasaskan di sini. Terdapat banyak makam sejarah di sini, termasuk Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (makam sultan terakhir bagi Kesultanan Melaka) dan Makam Tauhid di Kampung Makam. Makam Laksamana Bentan dan Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid terletak di Kampung Kelantan. Cerita sejarah ini pernah difilemkan pada tahun 1960-an dengan diberikan nama "Dang Anom". Barisan pelakon yang membintangi filem ini termasuklah Allahyarham Nordin Ahmad sebagai Laksamana Bentan.

Bandar Kota Tinggi pada dirinya tidak begitu menarik, tetapi air terjun yang terletak di Lombong, 15 kilometer di barat laut bandar ini, merupakan destinasi pelancongan yang amat popular. Setinggi 36 meter, air terjun ini terletak di kaki Gunung Muntahak yang mempunyai ketinggian 634 meter. Air sungai yang dingin mengalir melintasi beberapa kolam yang cetek dan yang ideal untuk berenang. Keindahan semulajadi di beberapa bahagian tempat ini telah dirosakkan oleh pembangunan tempat peranginan dengan seni taman buatan.

Terdapat juga banyak pantai di sepanjang pinggir laut Kota Tinggi. Pantai-pantai paling popular ialah Tanjung Balau, Desaru , Batu Layar dan Tanjung Sedili yang masing-masing terletak 58 km, 55 km, 62 km dan 45 km dari bandar Kota Tinggi. Chalet-chalet dan hotel-hotel yang menawarkan kadar yang berpatutan boleh didapati dengan mudah di sepanjang pantai.

Teluk Sengat yang terletak 25 kilometer di timur bandar Kota Tinggi merupakan kampung makanan laut yang popular di kalangan pelancong, khususnya pelancong-pelancong dari negara Singapura. Untuk sampai ke Kota Tinggi orang ramai boleh menggunakan susur keluar Tol Kulai melalui Lebuh Raya Utara Selatan. Kota Tinggi tidak mempunyai laluankereta api tetapi masih boleh berbuat demikian. Stesen KTM johor Bahru merupakan Stesen terdekat. Jaraknya hanya 45 kilometer sahaja dari bandar Kota Tinggi.



TERENGGANU
Air Terjun Sekayu
clip_image026
Salah satu tempat menarik di Terengganu yang harus anda kunjungi bagi menikmati keindahan alam semulajadi. Kawasan air terjun Sekayu yang menjadi tumpuan penduduk tempatan terutamanya pada hari Jumaat dan cuti awam ini, terletak 56km selatan-barat Kuala Terengganu, berdekatan Kuala Berang. Ia kawasan taman yang agak luas dan mempunyai rangkaian air terjun yang agak jauh ke dalam, berdekatan dengan lereng gunung. Air terjun utama terletak 15 minit dari pintu masuk taman.

Perjalanan seterusnya mengambil masa 20 minit untuk sampai ke tingkat air terjun yang lebih menarik. Anda boleh berenang di kedua-dua kawasan terjun, sambil menikmati suasana dusun buah-buahan tropika yang terdapat di kawasan taman ini.

Untuk ke sini, anda boleh menaiki bas dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang (RM4), kemudian meneruskan perjalanan dengan teksi (RM15 satu hala). Memandangkan kawasan air terjun agak terpecil, anda boleh meminta pemandu teksi untuk menunggu (percuma untuk satu jam pertama, tapi bayaran RM12 dikenakan untuk jam seterusnya).


Jika anda memandu kenderaan send iri, berhati-hati apabila melalui kawasan kampung. Kerap-kali, jalan raya menjadi tempat laluan lembu- lembu penduduk tempatan. Kawasan Air Terjun Sekayu amat sesuai dijadikan destinasi persinggahan sebelum atau selepas bercuti di Tasik Kenyir.



Tasik Kenyir
clip_image028
Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara yang terletak di sempadan negeri Pahang dan Kelantan. Ia juga menjadi pintu masuk kepada mereka yang ingin melawat Taman Negara. Tasik Kenyir wujud hasil daripada pembinaan Empangan Hidro Sultan Mahmud. Stesen jana elektrik ini mula beroperasi pada tahun 1985 dan telah dirasmikan pada 13 Julai 1987.

Tasik yang dikelilingi hutan tropika yang meluas ini mempunyai lebih daripada 340 buah pulau. Tasik ini juga dikatakan unik kerana mempunyai perbezaan aras air pasang-surut yang sangat ketara. Tasik Kenyir mempunyai 14 buah air terjun, beberapa buah jua batu kapur, jeram-jeram sungai dan beberapa sungai vang mengalir masuk ke tasik ini.


Tasik ini merupakan habitat bagi pelbagai spesis ikan air tawar dan hidupan liar yang unik. Ketenangan serta pemandangan alam semulajadi yang indah, pasti mempesona setiap mata yang memandang. Bagi penghuni kota yang rindukan kedamaian alam, dan ingin lari dari hiruk-pikuk kota, Tasik Kenyir merupakan destinasi percutian yang pasti menjanjikan kepuasan yang maksimum.

Hutan Simpan Tembat, Petuang, Hulu Telemong dan Ulu Terengganu merupakan hutan-hutan simpan yang berada di dalam kawasan Tasik Kenyir. Secara amnya, semua hutan tropika kelihatan sama di antara satu sama lain. Namun begitu, setiap hutan mempunyai keunikan dan ekosistemnya yang tersendiri.


Di sini terdapat lebih daripada 200 spesis haiwan, termasuk gajah, harimau, badak, seladang, beruang, tapir, rusa, siamang, dan monyet. Selain daripada kaya dengan hidupan liar, hutan di sini juga kaya dengan pelbagai spesis flora yang tidak kurang menariknya. Rotan di antara tumbuhan yang sering ditemui di kawasan ini. Malah terdapat juga spesis tumbuhan dan serangga yang tidak dikenal pasti namanya.

Antara air terjun yang menjadi tarikan utama di sini ialah Lasir, Saok, dan Tembat. Setiap hujung minggu pasti ramai penduduk setempat dan daerah-daerah yang berdekatan akan datang berkelah bersama keluarga.