Bangunan


Muzium Negara
muzium-negara
Muzium Negara merupakan muzium yang ulung di Malaysia yang terletak berhampiran dengan Taman Tasik Perdana. Ia memainkan peranan penting dari segi sejarah, kebudayaan dan ekonomi di negara ini. Muzium Negara telah menjadi pusat menyimpan kekayaan warisan dan kebudayaan negara serta memberi pengetahuan kepada masyarakat setempat dan pelancong melalui pameran, penerbitan dan pendidikan.


Bangunan ini telah dibuka secara rasmi pada Ogos 1963 oleh Yang di Pertuan Agong yang ketiga, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Al-Haj ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail. Pembinaan muzium ini dicadangkan oleh Tuanku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Tapak bangunan Muzium Negara ini adalah bekas Muzium Selangor yang telah musnah akibat letupan bom semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Reka bentuk bangunan ini adalah gabungan dari elemen estetik dan ukiran tradisional Melayu yang panjang bangunannya adalah 110 meter dan tingginya 35 meter. Ia terdiri dari 3 tingkat di mana di tingkat bawah adalah bahagian pejabat serta terdapat bilik perundingan, studio lukisan, perpustakaan dan bilik makmal.


Terdapat 2 balai pameran sementara di tingkat dua iaitu dewan A dan B. Dewan pameran A adalah untuk memuatkan galeri kebudayaan dan dewan B pula adalah untuk pameran yang mengambarkan keseluruhan keadaan di Malaysia. Ia merupakan dewan utama yang berukuran 90 kaki panjang, 50 kaki lebar dan 60 kaki tinggi. Dewan ini adalah khas untuk pameran dan secara purata 6-8 pameran setiap tahun.

Di tingkat dua, juga terdapat 2 dewan pameran kekal iaitu dewan C dan D. Dewan C adalah ruangan galeri persekitaran alam semulajadi sementara dewan D pula memuatkan 3 pameran iaitu pameran senjata, peralatan muzik dan peralatan seramik. Antara pameran yang sentiasa diadakan di situ adalah seperti pameran kebudayaan Malaysia, bahan prasejarah, senjata, seni pertukangan tangan, mata wang, pingat-pingat dan cara hidup orang asli di Semenanjung Malaysia.

Lukisan dinding sebelah Timur berhadapan dengan Jalan Travers mengambarkan kronologi sejarah Tanah Melayu termasuk Sejarah Kesultanan Melayu Melaka, Zaman Kolonial dan sejarah kemerdekaan Tanah Melayu. Di sebelah Barat pula mengambarkan aktiviti ekonomi di Malaysia, perayaan tradisional dan warisan budaya masyarakat Malaysia. Di kawasan luar muzium juga terdapat barang-barang lama seperti kepala keretapi, istana lama dan sebagainya. Kemudahan lain yang disediakan untuk para pengunjung adalah kafeteria, kedai cenderamata, kemudahan untuk orang yang kurang upaya dan kerusi roda, bilik sembahyang, bilik rehat dan tempat meletak kenderaan.



Stadium Merdeka
A_Stadium_Merdeka_Malay_Independence_200812050356385780_afp
Stadium Merdeka merupakan hasil daripada cetusan idea Al-Marhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sejak tahun 1951, semasa beliau masih lagi menjadi Pegawai Kerajaan dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia di zaman Pemerintahan British. Pembinaan Stadium Merdeka telah bermula pada bulan September 1956 dan siap sepenuhnya pada bulan Ogos 1957.


Kos pembinaannya adalah RM2.3 juta yang dibiayai sebahagiannya melalui kutipan derma dari orang ramai. Sebuah tapak yang sesuai telah diperolehi di dalam kawasan Taman Coronation yang termasuk dalam hakmilik Majlis Perbandaran dan pada asalnya merupakan tanah perkuburan Cina yang terletak di atas bukit. Manakala kerja-kerja pembinaan Stadium Merdeka ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran dan diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya.

Batu asas Stadium Merdeka ini telah diletakkan pada 15 Februari 1957 dan telah dibuka dengan rasminya pada 30 Ogos 1957 oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri yang pertama, bagi Persekutuan Tanah Melayu. Pada masa itu, Stadium Merdeka ini merupakan stadium yang terbesar di Asia Tenggara. Stadium Merdeka ini telah ditadbir oleh sebuah lembaga yang dinamakan Lembaga Kawalan Stadium Merdeka yang dipengerusikan oleh Allahyarham Yang Amat Berbahagia Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang ke dua pada masa itu.


Pembinaan Stadium Merdeka melibatkan pengalihan 200,000 ton tanah dan meletakkan 10,000 ton konkrit serta diperkuat dengan 700 ton besi. Tiang lampu limpah diperbuat daripada konkrit berbentuk corong. Ketahanan tekanan ialah 250 ton dan setiap tiang 117 kaki panjang serta 25 ton berat.

Beberapa bilik kemudahan seperti bilik TV, radio, telekom, akhbar, polis dan sebagainya disediakan bagi membolehkan petugas di dalamnya boleh melihat terus ke kawasan permainan. Selain daripada itu di bawah tempat duduk berbumbung terdapat bilik-bilik mesyuarat, pejabat, tandas awam dan foyer pintu masuk utama serta sebuah restoran di tingkat satu. Bilik persalinan pemain dan peserta diletakkan di tingkat mezzanine.


Orang yang bertanggungjawab terhadap perancangan, rekabentuk dan pembinaan stadium sehingga akhir adalah Encik K.Nankivell, Pengarah Jabatan Kerja Raya Persekutuan. Manakala kontraktor utamanya adalah Tetuan K.C Boon dan Cheah Co. Ltd. yang bertanggungjawab membuat lorong-lorong masuk dan tempat duduk teres dan Tetuan Lim Quee and Sons pula bertanggungjawab membina tempat duduk berbumbung. Keluasan kawasan Stadium Merdeka kira-kira 5 hektar, termasuk padang letak kereta yang boleh memuatkan 800 buah motokar dan 50 buah bas.



Menara Berkembar Petronas
image
Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, Malaysia ialah sepasang menara berkembar yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia sebelum diatasi oleh Taipei 101. Sungguhpun begitu, kedua-dua menara ini masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia dan juga merupakan bangunan tertinggi pada abad ke-20.


Menara Berkembar Petronas memegang gelaran bangunan tertinggi dari tahun 1998 hingga 2004 dari segi ukuran dari aras pintu masuk utama hingga atas struktur, iaitu rujukan ketinggian asli yang digunakan oleh pertubuhan antarabangsa Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar sejak tahun 1969 (tiga kategori ketinggian tambahan diperkenalkan ketika menara ini hampir disiapkan pada tahun 1996).


Perbandingan dengan menara lain:
clip_image008[4]
Mengikut CTBUH, puncaknya yang menyumbang kepada ketinggian keseluruhan menara ini, oleh itu mengatasi Menara Willis.

Menara Berkembar Petronas menjadi bangunan tertinggi di dunia sehingga siapnya Taipei 101 pada tahun 2004, seperti yang diukur hingga ke atas komponen strukturnya (kemuncak, bukan antena). Puncak (spire) dianggap sebagai bahagian penting dalam reka bina bangunan, dan jika diubah boleh banyak mengubah rupa dan reka bina bangunan, manakala antena boleh dipasang atau dicabut tanpa memberi kesan kepada rupa bangunan. Menara Berkembar Petronas masih merupakan bangunan berkembar tertinggi di dunia.

Menara-menara Willis (dahulunya Spears) dan World Trade Center terbina dengan 110 tingkat yang boleh diduduki, iaitu lebih 22 tingkat berbanding Petronas Twin Towers yang ada 88 tingkat. Bumbung-bumbung dan tingkat tertinggi menara Willis dan World Trade Center agak melebihi ketinggian bumbung dan tingkat tertinggi Menara Berkembar Petronas. 


Antena tertinggi di Willis Tower adalah 75 meters (246 ka) lebih tinggi berbanding puncak-puncak Menara Berkembar Petronas. Walaupun demikian, mengikut peraturan dan garis panduan CTBUH, antena-antena Menara Willis tidak diambil kira sebagai sebahagian ciri-ciri seni binanya. 

Sebaliknya, puncak-puncak pada Menara Petronas dikira dalam ukuran ketinggian kerana bukan merupakan tiang antena. Oleh itu, Menara Berkembar Petronas mengatasi ketinggian rasmi Menara Willis dengan beza 10 meters (33 ka), padahal Menara Willis lebih banyak bilangan tingkat dan lebih besar kakian perseginya.

Di bawah bangunan ini, terdapat sebuah Taman KLCC seluas 17 ekars (69,000 m²) yang tersedia lorong berjoging dan bersiar-siar, kolam air pancut yang dihiasi pertunjukan cahaya, kolam randuk, dan taman permainan kanak-kanak. Suria KLCC ialah salah sebuah pusat beli-belah terbesar di Malaysia.

clip_image010
Sebatang jejantas menghubungkan kedua-dua menara.
Terdapat sebatang jejantas udara yang menyambungkan kedua-dua menara di tingkat 41 dan 42, iaitu jejantas dua tingkat tertinggi di dunia. Jejantas ini tidak dipasang terus pada struktur utama, sebaliknya direka agar berlongsor ke dalam dan luar menara agar tidak patah akibat angin kencang.


Jambatan ini terletak 170 meters (558 ka) dari paras tanah dan panjangnya 58 meters (190 ka), dan beratnya 750 tans (750,000 kg). Tingkat 41 dan 42 juga dikenali sebagai podium, kerana para pelawat yang hendak ke tingkat lebih tinggi perlu menukar lif di sini. Jejantas ini terbuka kepada semua pelawat, asalkan mendapat pas percuma yang diberi mengikut resmi siapa dulu dia dapat (terhad kepada 1700 orang sehari). Para pelawat hanya dibenarkan berada di tingkat 41 kerana tingkat 42 hanya dibuka kepada kakitangan penghuni bangunan.

Jejantas ini juga berperanan sebagai peranti keselamatan, yang mana sekiranya terjadinya kebakaran atau kecemasan seumpamanya di satu menara, para penghuninya boleh mengosongkannya dengan menaiki jejantas ke menara yang satu lagi. Kadar pengosongan yang tercetus oleh ancaman bom palsu pada 12 September 2001 (sehari selepas tragedi keruntuhan menara berkembar World Trade Center di Bandar Raya New York) menunjukkan bahawa jejantas tersebut tidak berguna sekira kedua-dua bangunan perlu dikosongkan serentak, kerana muatan tangga kecemasan adalah tidak cukup untuk menghadapi kejadian sebegini. Oleh itu, adalah dirancangkan agar lif boleh digunakan sekiranya kedua-dua menara perlu dikosongkan, lantas dijayakan oleh raptai kecemasan yang mengikut rancangan tersebut pada tahun 2005.



Masjid Tengkera
image
Masjid ini merupakan masjid lama yang terletak di Jalan Tengkera yang berdekatan persimpangan Jalan Gajah Berang. Masjid ini telah dibina pada tahun 1728 dan merupakan masjid bersejarah kerana dibina pada zaman pemerintahan Belanda. Masjid ini juga merupakan masjid yang kedua tertua di Melaka selepas Masjid Peringgit.

Bangunan masjid ini bersegi empat dan ditutup oleh bumbung berlapis tiga. Bentuk seni bina masjid ini hampir menyerupai Masjid Kampung Laut di Kelantan dan Masjid Demak di Pulau Jawa, Indonesia. Perkara yang ganjil tentang masjid ini ialah terdapat sebuah menara yang mempunyai seni bina yang sama dengan pagoda. Menaranya diperbuat daripada batu dan reka bentuknya jelas memperlihatkan kombinasi seni bina Cina dan India.

Pada asalnya, Masjid Tengkera ini diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Sumatera. Masjid ini telah diperbaharui beberapa kali iaitu pada tahun 1890 dan 1910.

Di dalam kawasan masjid ini terdapat makam Sultan Hussein Muhammad Shah dari Johor yang telah mengiktiraf perjanjian awal penyerahan Singapura kepada Sir Stamford Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman pada 6 Februari 1819. Selepas penyerahan Singapura, baginda meninggalkan Singapura dan berpindah ke Melaka. Sultan Hussein Muhammad Shah mangkat pada 5 September 1835 dan dimakamkan di perkarangan masjid ini.



Bangunan Sultan Abdul Samad
image
Bangunan Sultan Abdul Samad adalah merupakan di antara bangunan lama yang terdapat di bandaraya Kuala Lumpur yang merupakan bangunan warisan dan masih dilindungi keaslian rekabentuknya. Bangunan Sultan Abdul Samad ini dibina pada tahun 1893. Walau bagaimana pun perletakan batu asas bagi bangunan ini hanya dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu. Bangunan ini siap sepenuhnya untuk digunakan pada tahun 1897. Bangunan Sultan Abdul Samad ini mengambil sempena nama Sultan Selangor yang memerintah pada ketika itu, iaitu dalam tahun 1896.

Bangunan ini merupakan suatu mercu tanda di Kuala Lumpur yang terkenal pada ketika itu. 
Kedudukan lokasinya yang terletak pada satu tapak di antara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak begitu terkenal kerana merupakan satu tapak yang strategik, iaitu di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Kawasan tersebut meliputi keluasan 10,200 meter persegi dan di bahagian belakangnya terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Mahkamah Persekutuan. Bangunan Sultan Abdul Samad ini juga dikatakan strategik kerana terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek yang kesemuanya terletak berhampiran Sungai Gombak.



Sebelum merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan sebuah Pusat Pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen- General dan Pejabat Besar Pos. Selepas kemerdekaan pula, ia dijadikan sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan. Bangunan ini juga menempatkan Mahkamah Agung Malaysia dan sebahagian daripada Mahkamah-mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1978.


Reka bentuk pelan bangunan ini dibuat oleh arkitek dari British bernama A.C. Norman (yang bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur) dan dibantu oleh seorang jurutera juga berasal dari British, iaitu C.E. Spooner. Senibina Bangunan Sultan Abdul Samad ini sangat unik dan merupakan di antara bangunan yang tersohor pada ketika itu. Ia mempunyai dua tingkat setinggi 57 kaki berbentuk ladam di mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik. Bangunan ini juga mempunyai tiga kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked. Ia juga terdapat satu serambi besar tertutup yang merupakan suatu elemen penting dalam reka bentuk bangunan ini.